Saturday 18 December 2010

PUJIAN BUAT PETUGAS KRT YANG TERLIBAT DENGAN GOTONG ROYONG MEMBERSIH LONGKANG TAMAN PERUMAH

TAMAN KELISA EMAS, 18 Disember 2010. Hujan renyai-renyai bermula jam 8.00 pagi apabila aktiviti gotong royong dimulakan. Ia sebenarnya bukan satu halang yang boleh mematahkan semangat untuk bergotong royong. Aktiviti ini telah lama dirancang dan ia merupakan aktiviti bulanan yang diaturkan untuk menjaga kebersihan dan keceriaan tanam pada setiap masa.

Sasaran kerja gotong royong kali ini ialah membersih longkang yang tersumbat disebabkan sampah sarap, pembuangan batu bata dan tumbuhan liar yang menghalang laluan air. Tujuan selain itu ialah bagi memusnahkan sarang pembiakan nyamuk aedes. Kebelakangan ini wabak aedes semakin menjadi-jadi terutamanya musim hujan seperti musim tengkujuh ini.

Tidak ramai yang turun bergotong royong kali ini kerana dalam meyuarat lalu Jawatankuasa KRT telah memutuskan bahawa hanya AJK KRT sahaja yang turun ke lokasi gotong royong bagi fasa pertama ini. Ia sebenarnya sebagai satu promosi kepada penduduk bahawa kerja seperti ini perlu pendekatan bahawa kepimpinan perlu turun ke padang terlebih dahulu sebagai teladan. Semoga dengan cara ini akan dapat menarik penduduk yang lain dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini. Namun begitu, terdapat juga beberapa orang penduduk yang lain turut turun padang bersama-sama menjayakan aktivit yang dianjurkan ini. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak.

Taman perumahan ini baru sahaja dibuka, iaitu kira-kira tidak sampai 5 tahun. Keindahan taman perumahan ini terletak pada reka bentuk dan susun atur bangunan yang menarik. Kemudahannya selari dengan taman perumahan lain di Bandar Jerantut kerana ia tidak letak tidak sampai 3 Kilometer daripada Bandar Jerantut.
Pemandangan begiti menjadi ratu rutin dalam meningkatkan keceriaan semasa. Bertitik tolak daripada itulah aktiviti gotong royong kebersihan dan keceriaan sentiasa dilakukan. Biarpun kehadiran peserta gotong royong tidak ramai, tetapi semangat kebersihan dan keceriaan buat semua tetap subur bersemangat.

Fenomena seperti ini telah menjadi rutin bulanan kepada penjagaan kebersihan. Namun kali ini fokus diberikan kepada kebersihan longkang kerana ia adalah punca utama pembiarkan aedes. Penyakit bawaan nyamuk ini boleh membawa maut dan kehadiran penyakit ini ke taman perumahan ini tidak harus dibenarkan. Cara aktiviti ini dapat membasmi sarang pembiakan nyamuk di kawasan ini dan secara tidak langsung dapat mengawal dan mencegah pembiakannya.

Bukan sahaja sampah sarap yang menjadi halangan kepada aliran air di longkang-longkang, malahan tanah atau pasir juga menjadi agen pengaliran air. Ini boleh menyebabkan longkang menjadi tersumbat dan sesetengah tempat itu terdapat tumbuhan liar yang menumpang. Kerja-kerja membersihnya pula menjadi susah dan kalau dibiarkan boleh menyebabkan longkang akan rosak.
Sekiranya tumbuhan liar ini tidak dibuang, kemungkinan besar tempat ini menjadi tempat persembunyian, pembiakan dan sarang bintang berbisa seperti ular, lipan mahupun tikus. Boleh dikatakan binatang-binatang ini berbisa, membawa penyakit dan pengotor. Kemungkinan jangkitan penyakit bawaan tikus akan berlaku di rumah kita sekiranya tempat mereka tidak dimusnahkan.
Kereta sorong terpaksa digunakan untuk memindahkan bahan buangan dan tumbuhan liar tadi bagi mengelakkan daripada berselerak dan terbiar. Ia bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah yang ada bahkan mencacatkan pemandangan sedia ada. Keceriaan bukan sahaja terletak kepada kebersihan bahkan ia menjadi keutamaan kepada keindahan. Sekiranya cacat perkara ini, maka tidak bermaknalah kebersihan.

Sepatutnya tugasan membersih longkang ini terletak kepada pihak bertanggungjawab seperti Alam Flora atau Majlis Daerah Jerantut. Tetapi tidak tahu mengapa mereka tidak menjalankan tugasan mereka dengan sempurna seperti apa yang diwar-warkan. Sedangkan penduduk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang PBT serta membayar cukai tepat pada masanya. Namun atas rasa tanggungjawab kepada kemuniti KRT telah terpanggil untuk membantu agensi ini bagi memudahkan urusan penyeliaan. Sikap ini satu perbuatan yang mulia dan perlu dipuji kerana sentiasa memandang kehadapan untuk bertindak secara positif.

Tidak ada rotan akar pun berguna, itu lah ibarat yang cuba diketangahkan kepada pasukan ini. Mereka tidak ambil kira lagi tentang kejijikan longkang malahan tidak segan silu menggunakan tangan mengangkat bahan buangan dan rumput rampai. Ada yang jari jemarinya terluka kerana terkena hirisan kaca yang terdapat di dalam lumpur atau pasir. Namun mereka tidak perduli akan hal ini sangat. Bagi mereka melakukan tugasan dengan ikhlas dapat mengatasi apa yang sedang mereka hadapi. Kesungguhan terpancar dan selikan gurau senda dan lawak jenaka menghiburkan pasukan pertugas suka rela ini untuk bekerja dengan ikhlas. Bahkan tampak keseronakan bekerja tanpa merasakan keletihan.

Semasa gotong-royong ini dijalankan, hujan renyai-renyai turun membasahi sekitar kawasan yang mana aktiviti pembersihan akan dijalankan. Namun semangat itu tidak dapat melunturkan semangat kejiranan dan amalan gotong-royong dikalangan mereka yang turun pada hari itu. Semoga amalan murni ini menjadi satu contoh telada kepada semua.

Encik Shukri ( berada dalam longkang) ialah Pengerusi KRT dan beliaulah orang yang pertama turun ke lokasi membersih longkang dikawasan logi kumahan. Kepimpinan melalui telada inilah yang cuba beliau praktikan dan semoga ia menjadi ia menjadi satu contoh kepada generasi akan datang. Bukan senang untuk menjadi pemimpin kerana banyak perkara yang perlu diambik kira sebelum bertindak dan kepimpinan dalam KRT ialah kepimpinan berdasarkan kesukarelaan. Sedangkan dalam kepimpinan JKKK atau Rela mereka dibayar elaun sedangkan dalam kepimpinan KRT tidak dibayar apa-apa melainkan berpegang kepada tanggungjawab dan kesukarelaan semata-mata.

Kawasan logi kumahan ini perlu diselia demgan segera apabila menerima aduan kerosakan kerana ia terletak ditengah-tengah kawasan penduduk taman perumahan ini. Sekiranya lambat bertindak, ia boleh menyebabkan pencemaran bau bahkan boleh mengundang masalah lain seperti kerosakan lebih serius, tandas-tandas dikediaman akan tersumbat dan sebagainya. Dari segi keselamatan kanak-kanak pula, ia perlu sentiasa berkunci dan tiada laluan boleh masuk ke kawasan ini. Kanak-kanak yang membolosi ke kawasan ini akan berdepan dengan bahaya yang tidak diingini. Justeru, pihak bertanggungjawab hendaklah sentiasa peka soal keselamatan.

Entah macam mana akan jadi kalau longkang ini tidak dibersihkan. Tidak adakah perasaan bertanggungjawab yang tumbuh dikalangan penduduk yang membuang batu bata, peralatan mainan, sampah sarap dan sebagainya. Kesedaran dan tanggungjawab kepada kemunita perlu dijaga agar semua pihak dapat merasai akan keamanannya.

Setelah penat bergotong-royong, mereka berehat seketika sambil bersembang dan bertanya khabar. Inilah yang tersirat dalam apa yang tersurat dari amalan dan budaya muafakat dan gotong-royong ini. Sesuatu yang jarang dipraktikan kerana masing-masing sibuk dengan tugasan harian hingga abaikan amalan sebegini. Semoga aktiviti seperti gotong-royang seperti ini dapat mengeratkan ikatan persaudaraan dan kekitaan di taman perumahan ini sampai bila-bila.

Encik Mat, Timbalan Pengerusi sedang memerhati apa yang terdapat dalam longkang yang telah di bawa naik. Pelbagai bahan yang tidak sepatutnya berada di dalam longkang tersebut. Antaranya batu-bata, bekuan simin, botol-botol, serpihan atap genting dan sebagainya. Semua ini akan menjadikan longkang menjadi tersumbat dan takungan air yang menjadi sarang pembiakan nyamuk.

Gotong royong dan amalan muafakat seperti ini sememangnya memerlukan komitmen semua pihak terutamanya pihak PBT. Ia tidak seharusnya dipikul oleh KRT atau komuniti setempat sahaja. Ini kerana tugasan ini telah dipertanggungjawab kepada PBT melalui saluran pembayaran cukai. Dalam soal ini bukanlah untuk menyalah atau meletak kesalahan kepada PBT semata-mata namun secara profesionalnya pihak PBT kena turut membantu. Sebab itulah gotong-royong ini diadakan bagi memastikan keselesaan bersama dapat dikecapi. Mana kala pihak PBT kenalah menyokong usaha sebegini. Kalau tiadak usaha sebegini sudah semestinya keadaan sekitar taman-taman perumahan tidak berada dalam keaadan bersih dan selesa.

Kalau tidak ada insan-insan yang sanggup berkorban masa, sanggup turun ke longkang berair dan kotor macam ini serta insan-insan yang mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dalam kerja-kerja kemasyarakatan seperti ini, sudah pasti amalan gotong-royong sudah tidak ada lagi. Semuanya hendak dibayar. Sikit-sikit bayar. Sedangkan amalan gotong-royong boleh menyelamatkan kos yang besar disamping mengeratkan silaturahim sesama penduduk. Kalau semua perkara perlukan kos dan pembayaran, sudah pasti semua perkara tidak dapat dijalankan. Ini kerana KRT tidak mempunya peruntukan yang besar. Hanya sekadar peruntukan kecil bagi menjalankan aktiviti-aktiviti ringan yang tidak memerlukan kos yang tinggi. Tegasnya, dengan lain perkataan hanya menampung kos makan dan minum sahaja.

Kesempatan berhari minggu dan cuti sekolah sepatutnya ramai yang turun bersama-sama bergotong-royong walaupun dalam beberap minit. Bukanlah satu alasan untuk tidak bersama kerana dalam masa 24 jam itu, takkan lah selalu sibuk. Kalaupun anda tidak dapat bersama-sama kerana komitmen lain, apa salahnya menyumbang dalam bentuk lain seperti menyumbang wang, makanan ringan, bekalan minuman dan sebagainya. Ia setidak-tidak meringankan kos yang sedia ada atau sebagai satu tanda anda ingin membantu tetapi dalam bentuk lain. Semoga ada kesedaran daripada kita semua agar amalan murni seperti ini dapat diteruskan dan menjadi amalan rutin dalam kehidupan bermasyarakat kita.

Bukanlah susah untuk hidup bermasyarakat ini. Ia telah dilakukan oleh generasi sebelum kita bahkan ia satu amalan yang mulia. Kalau kita beranggapan sempit bahawa ia menyusahkan dan telah ada pihak bertanggungjawab akan melakukan kerja-kerja pembersihan ini, maka sudah tiba masanya kita semua berubah dan kembali kepada amalan murni ini dengan baik. Buangkan perasaan yang tidak berfaedah itu dan bersama-samalah kita meneruskan amalan yang baik ini dengan sempurna.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan taman perumahan ini dengan tidak membuang sampah ke dalam longkang, bungkus sampah elok-elok dan letak ke dalam tong sampah bertutup sebelum pihak Alam Flora memungut pada masanya, tidak mengotori longkang-longkang dibelakang rumah, merumput dan mencantas pokok-pokok bunga di laman rumah, menjaga kebersihan sekitar rumah masing-masing dan usah pentingkan diri sendiri untuk tidak bersama-sama dalam aktiviti kemasyarakatan yang berlaku di taman perumahan ini. Marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan demi kepentingan bersama. Semoga kita seluruh taman perumahan ini merasai ketenangan, kedamaian dan selesa untuk memandang. Terima kasih kepada yang terlibat dalam aktiviti ini dan semoga ia menjadi sebahagian daripada amalan kebajikan kita tanpa mengira waktu, kawasan dan tanpa mengira bangsa, fahaman agama,fahaman politik dan keturunan. Apa yang diingini sebagai hidup bermasyarakat ialah hidup bersatu padu, tolong menolong dan sentiasa ambil tahu untuk kebaikan bersama.

Tulisan & Foto oleh
mazlqan@yahoo.com

JEJAK ANDA

PAPARAN SEMASA

MENGENAI KAMI

27000 JERANTUT, PAHANG DARUL MAKMUR, Malaysia
JALAN JERANTUT FERI

TAMAN KELISA EMAS

TAMAN KELISA EMAS

Selamat Datang Ke Taman Kelisa Emas, Jerantut

Kami mangalu-alukan penduduk taman ini menyumbangkan idea bagi membangunkan web Taman ini dengan lebih mantap.