Jelas Timbalan Perdana Menteri, apabila dilaksanakan, aktiviti seperti itu berupaya melahirkan usahawan kecil serta menyediakan tenaga kerja yang berkualiti kepada masyarakat.
Malah jelasnya, ini sekali gus dapat membantu menjana ekonomi penduduk setempat dan sedikit sebanyak memantapkan fungsi serta peranan Rukun Tetangga pada alaf baharu ini.
"Sehingga Januari ini, terdapat kira-kira 7,137 unit Kawasan Rukun Tetangga dengan seramai 178,425 orang ahli jawatankuasanya.
"Ini kalau digembleng atau diperluaskan bagi melaksanakan kegiatan ekonomi akan berupaya melahirkan usahawan atau menjana tenaga kerja. Pada alaf baharu ini kita mahu fungsi dan peranan Rukun Tetangga diperluaskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2014 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Muhyiddin berkata, selain me­ngem­bangkan peranan Rukun Tetangga, aspek keselamatan merupakan antara isu utama yang perlu diberikan perhatian dalam menjamin keharmonian dan kesejahteraan dalam sesebuah negara.
"Oleh itu, penubuhan Rukun Tetangga merupakan antara kaedah yang dikenal pasti paling berkesan dalam menjamin tahap keselamatan sesuatu komuniti. Dengan adanya aktiviti rondaan Rukun Tetangga, kita yakin masalah jenayah dan masalah sosial akan dapat ditangani di samping mewujudkan hubungan perpaduan," ujarnya.
Menurutnya, kerajaan juga telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan nilai dan semangat perpaduan dalam komuniti dapat terus dipelihara tanpa diganggu-gugat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram.