Sunday 4 November 2012

BERSATU DAN PRIHATIN, JIRAN HARUS DILINDUNGI

31 Oktober 2012 - KEJADIAN pecah rumah yang menimpa beberapa buah rumah serentak beberapa hari lalu kepada jiran kita, sangat dikesali. Simpati kepada mereka terlibat dinyatakan dengan perasaan sedih dan kecewa. Ini adalah kerana kejadian tersebut melibatkan bukan sahaja jiran malahan sahabat yang sentiasa memberi pertolongan sekiranya dipinta.
Kita menyangkakan bahawa kejadian-kejadian sebelum ini, iaitu melibatkan jiran-jiran yang lain adalah dapat disengkal dengan mempertingkatkan kawalan keselamatan di waktu-waktu malam dan siang. Namun kejadian tersebut masih juga berlaku seolah-olah satu misteri yang dilakukan oleh perancang yang memang menanti ruang dan peluang. Ia menjadi tanda tanya kepada semua penduduk taman perumahan ini bahawa kenapa perbuatan tersebut masih berlaku wahal tahap keselamatan telah diambil.Ia seolah-olah menuntut kepada satu komitmen yang lebih tinggi kepada semua penduduk atau seolah-olah mencabar kesepaduan penduduk. Kejadian tersebut juga telah menghantui setiap penghuni.  
Namun benarlah ungkapan “ sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua”. Sikap tidak bertanggungjawab kepada masyarakat dan tergamak melakukan perbuatan kianat ini, tidak harus dimaafkan begitu sahaja. Ini adalah kerana perbuatan pecah rumah seperti ini adalah satu pengkianatan yang nyata. Ia bukan sahaja melibatkan kehilangan harta benda si pemangsa, malah meletakkan mangsa dalam keadaan trauma, ketakutan dan akan sentiasa menghantui fikiran mereka sampai bila-bila. Wajarkah perbuatan terkutuk ini dibiarkan sedangkan si pemangsa menjadi takut walaupun dengan bayang-bayang sendiri? Letakkan situasi yang berlaku kepada jiran-jiran kita yang menjadi mangsa itu adalah kita? Sudah tentu anda ada jawapan itu.
Bagi kami kejadian ini sangat memalukan dan tidak bertanggungjawab sama sekali. Sekiranya suspek berada dalam kewarasan yang berbekalkan keimanan yang tinggi, beliau tidak akan melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Sekiranya suspek adalah seorang yang beriman dan bertakwa, setidak-tidaknya beliau berasa takut pada tuhan yang sentiasa memerhati segala perbuatannya. Ingatlah bahawa setiap perbuatan kita akan dihukumi oleh tuhan yang tidak sekalipun melepaskan seseorang hampaNya yang bersalah tanpa menghukuminya. Pembalasan tuhan lebih adil. Sekiranya kita tidak berasa takut padaNya, maka tunggulah akan balaNya yang akan melanda kita pada bila-bila masa. Percayalah, janji tuhan itu adalah benar dan siksaanNya amat pedih.

Sebagai seorang warga negara yang beriman, sepatutnya kita melindungi jiran-jiran, bukannya mengambil kesempatan sehingga menyebabkan jiran-jiran tersebut menjadi trauma. Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini dan diharapkan suatu hari nanti ia mendapat pembalasan yang setimpal dengan perbuatannya. Kalau pun terlepas daripada hukuman di dunia, akhirat nanti mendapat hukuman yang sewajarnya.
Sebagai penghuni taman perumahan ini, kita semua harus ada perasaan bertanggungjawab kepada setiap jiran. Bukanlah kerana ada kesempatan, kita melakukan perbuatan jenayah dan menyoroknya dengan sikap kejiranan yang “ ada udang disebalik batu”. Sikap tidak bertanggungjawab ini perlu diperbaiki atau dengan lebih tepat sekali “bertaubatlah”.
Bagi mengatasi perkara ini daripada terus terjadi, beberapa langkah yang tegas akan dibuat oleh KRT dan SRS seperti,
1.    Memperkemaskan semula tahap keselamatan dengan mengadakan rodaan berjadual yang lebih kerap bersama penduduk yang lain termasuklah pasukan keselamatan seperti polis, RELA dan sebagainya.
2.    Mengadakan ceramah keselamatan dan kesedaran keselamatan
3.    Memastikan stekel kenderaan dipasang bagi kenderaan penghuni taman perumahan termasuklah penyewa atau sesiapa sahaja yang tinggal lebih lama di sini.
4.    Mengemaskini data penghuni dan mohon kerjasama daripada semua penduduk memberi kerjasama kepada data atau maklumat yang diperlukan.
5.    Memasang CCTV di beberapa lokasi strategik.
6.    Mengadakan MAJLIS SOLAT HAJAT, BACAAN YASIN DAN DOA SELAMAT sebagai satu cara memohon pertolongan daripada Allah agar membantu dan memberkati kehidupan taman perumahan ini.
Memang benar kejadian tersebut tidak berlaku kepada kita. Ia berlaku kepada jiran-jiran kita yang telah menyebabkan mereka menjadi trauma, ketakutan malah mengambil masa yang panjang untuk dilupakan. Kami juga percaya anda boleh menjaga sendiri, harta benda, keselamatan keluarga dan rumah anda dengan memasang CCTV atau penggera keselamatan. Namun kami tetap yakin dan percaya bahawa anda tidak boleh mengatasi kuasa perpaduan, bersepakat, keprihatinan sesama kita dan sebagainya. Justeru, marilah kita sama-sama bersatu hati dengan turut sama mengadakan rodaan keselamatan, prihatin kepada jiran dan mementingkan keselamatan bersama. Bersatu kita teguh, mementingkan diri sendiri, kelak kita yang menerima musibah dan kecelakaan.
Diharapkan dengan langkah-langkah yang diambil, ia dapat mengatasi masalah yang melanda penduduk dan ia juga dapat mengeratkan silaturahim. Kepada penduduk yang bukan beragama Islam, lakukan upacara tersendiri  agar perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku pada penduduk taman perumahan ini. Secara tegasnya dengan nada bersepakat bahawa KITA SEMUA MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA PERBUATAN KIANAT, KEMUNGKARAN DAN PERBUATAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB KEPADA JIRAN-JIRAN ATAU SAHABAT-SAHABAT KITA”.
Akhir kata, marilah kita semua bersatu hati dalam menangani perbuatan terkutuk ini daripada terus melanda kepada sesiapa sahaja. Jiran kita harus dilindungi. Kita tidak redha melihat jenayah berlaku kepada sesiapa sahaja terutamanya kepada jiran-jiran kita.

JEJAK ANDA

PAPARAN SEMASA

MENGENAI KAMI

27000 JERANTUT, PAHANG DARUL MAKMUR, Malaysia
JALAN JERANTUT FERI

TAMAN KELISA EMAS

TAMAN KELISA EMAS

Selamat Datang Ke Taman Kelisa Emas, Jerantut

Kami mangalu-alukan penduduk taman ini menyumbangkan idea bagi membangunkan web Taman ini dengan lebih mantap.