Sunday, 18 October 2009

SEPERTI AUR DENGAN TEBING, TEBING TIDAK AKAN ROBOH DENGAN BANTUAN AUR

SEBETULNYA "Perang Blog" tidak terjadi, ia cuma memperjelaskan sesuatu dalam suasana kekeluargaan. Kalau ada yang tersalah anggap itu, sebenarnya perkara kecil yang tidak harus diperbesakan. Bagi saya tidak salah kalau kita bertegur sapa dalam suasana kekeluargaan. Seperti yang saya utarakan bahawa kita jangan PANDAI MENGKRITIK SAHAJA, tetapi BERILAH SUMBANGAN supaya orang lain juga boleh berkongsi.

Tidak salah rasanya bersama-sama memeriahkan blog ini dalam suasana meriah dan aman. Sebetulnya saya sebagai webmaster tidak akan membenarkan hal-hal menggangu gugat keharmonian yang telah diwujudkan dalam blog ini mahupun di taman ini. Kalau ada bahasa-bahasa dan kritikan yang tidak sedap didengari saya tidak akan PAPARKAN dalam blog ini bagi menjaga keharmonian yang telah kita bina.

Soal kebajikan dalam pergerakan ini memang saya tidak dapat nak nafikan. Misalnya apa yang dilakukan oleh Encik Zaidi tu. Kerja dan sumbangan beliau tidak mudah untuk dilakukan kalau tiada kesungguhan, keikhlasan dan kesukarelaan. Bagi saya apa yang dilakukan oleh Encik Zaidi satu ibadah yang mulia dan sebagai penghuni taman ini kita semua harus memberi sokongan yang padu. Kerja sukarela ini kalau tidak dilakukan dengan betul sudah pasti tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Syabas diucapankan kepada Encik Zaidi.

Kalau tidak kita yang menyokong mereka yang bekerja secara sukarela ini siapa lagi? Sebagai tanda sokongan kita, marilah kita bersama-sama menjayakan setiap aktiviti yang mereka rancang. Saya tengok baru-baru ini di majlis sambutan hari raya dan Pelancaran Bumi Hijau ramai yang hadir dan memberi sokongan. Kepada yang tidak hadir tu bukan mereka tidak sokong, barangkali mereka ada kerja yang tidak dapat hendak dielakan. Saya sebagai webmaster blog ini juga sempat datang walaupun sekejap untuk ambil gambar aktivit yang sedang berlangsung. Itulah bukti dan tanda sokongan yang dapat saya hulurkan. Saya nampak ramai juga yang hadir bagi memeriahkan majlis itu. Syabas saya ucapkan kepada yang hadir. Kalau tidak kita siapa lagi nak memeriahkan majlis itu.

Kepada pasukan kompang, wah, boleh tahan juga. Harap agar perkara ini menjadi satu budaya yang utuh bagi memeriahkan lagi majlis di taman ini. Terima kasih diucapkan kepada Encik Zahimin yang berjaya melatih pasukan kompang. Kan meriah ada paluan kompang. Tampak bergaya sikit majlis yang diadakan. Teruskan.

Penduduk berbilang kaum juga hadir bersama dalam majlis itu. Inilah yang dikatakan pakatan 1 Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Najib. Kemeriah ini harus diperluskan kepada Cina dan India yang menghuni taman ini. Ajak lah mereka sertai bersama majlis ini. Siapa lagi kalau tidak mereka yang hendak menjayakan 1 Malaysia. YB Dato' Low Lee, Aduan Damak yang hadir dalam majlis itu juga menyatakan 1 Malaysia yang ditunjukkan oleh penghuni taman ini sangat membanggakan. Semoga bertambah keberkatan antara kaum yang terdapat di sini.

Komen yang dilontarkan oleh SUjiran wanita ada betulnya. Saya kira kita patut cakap begini.. MARI kita sama-sama menjayakan aktiviti taman ini secara bersatu padu, bukan hanya mengharapkan satu individu aje yang bertukus lumus dalam setiap aktiviti. Walaupun kita bukan daripada AJK yang dilantik, tetapi tidak salah kita lontarkan idea bernas untuk menjayakan aktiviti demi kepentingan taman ini. Anda tentu tahukan salurannya? Mudah sahaja, emailkan sahaja idea anda itu kepada krtkelisaemas@gmail.com.

Semoga keutuhan perpaduan yang telah terjalin ini berkekalan selamanya. Ibarat Aur dengan tebing, saling bergantungan. Mudah-mudahan apa yang kita lakukan secara sukarela ini dibalas oleh tuhan dengan kebaikan yang tidak terhingga. Amalan bergotong royong dan bantu membantu ini biarlah menjadi satu tradisi yang akan menjadi warisan kepada genarasi kita sepanjang zaman. Jadikan taman ini taman yang subur dengan amalan sebegini. Selamat maju jaya.


SUMBAGAN & KESUNGGUHAN

Salam semua pembaca blog dan penduduk Taman Kelisa Emas,
Tahniah saya ucapkan kepada barisan AJK dan penduduk di sini dengan jayanya dapat mengadakan Perasmian Bumi Hijau dan Jamuan Hari Raya.
Di sini saya suka dengan pendapat anda yang telah memberi komen. Buat Periwirawati Desa, maaflah saya cuma ingin membetulkan salah faham anda kepada En Zaidi.
Buat pengetahuan semua En Zaidi memberi khidmat sebagai Setiausaha yang baik dengan menyediakan minit, memyediakan kad-kad jemputan, melibatkan diri walaupun beliau banyak komitmen lain sebagai Pegawai Awam, bapa, suami namun tetap menghadiri majlis taman ini dengan tersenyum.
Walhal zaman sekarang bukan senang untuk mencari orang yang memberi khidmat percuma terutama dalam masyarakat.
Saya berharap janganlah ada "perang blog" pula.Anggaplah periwirawati desa sebagai penyuntik semangat kepada En Zaidi untuk lebih bersemangat dalam membuktikan khidmat ikhlas anda dalam taman ini.
Semoga keikhlasan yang disalurkan kepada masyarakat dapat memberi pengajaran kepada genaerasi akan datang dan diberkati limpah rahmat dari Allah Taala.Amin.

MENDEWASAKAN ANAK

DIDIKLAH anak-anak kita supaya,

1. Menjadi orang yang tahu menghormati orang lain
2. Anak-anak kita menjadi orang berguna
3. Jangan terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak kerana kebebesan membawa padah
4. Biarkan anak kita kenal jiran mereka dan hormati mereka
5. Kalau mereka adu dambar pada jiran yang tegur mereka, siasatlah dengan baik agar bukan mereka punca keretakan kita hidup berjiran.
6. Usah jadikan anak-anak kita perosak masyarakat
7. Didiklah anak kita supaya jangan ambil hak orang.
8. Jangan biarkan anak kita bermain di rumah orang dan buat rumah orang tu macam rumah sendiri.
9. Ajarlah anak kita bila dah dekat magrib suruh mereka balik dan masuk rumah.
10 Usah benarkan anak kita bertandang di rumah jiran lebih daripada pukul 10 malam.
11. Jangan benarkan anak kita kurang ajar dengan jiran kita sungguhpun mereka bersalah.
12. Suruh mereka akui kesalahan mereka dan minta maaf.
13. Suruh mereka sembahyang dan patuhi ajaran islam
14. Kalau tak reti nak diam dan bersolat kat masjid, usah bawa mereka ke masjid.
15. Jangan biarkan mereka buat bising kat masjid.
16. Kalau tak nak sujud pada Allah di masjid baik biarkan anak anda solat di rumah.
17. Ajar mereka beri salam bila berjumpa jiran dan bertegur sapa dengan jiran
18. Awasi kenalan anak anda. Siasat latar belakang kawan-kawan anak anda supaya mereka tidak tersalah memilih kawan. Biar kita menyebuk dari sekarang daripada kita sibuk nak jamin mereka kena tahan kat lokap.
19. Jangan biarkan anak kita buat bising hingga mengganggu jiran seperti bermain mercun, berkaraoke, bermain alat muzik dan gelak ketawa yang melampau.
20. Perihatin dengan anak kita supaya mereka tidak melanggar sopan santun berjiran.

Sumbangan : MAZLAN

Saturday, 17 October 2009

PENGHARGAAN & SANJUNGAN

BERIKUT ADALAH UCAPAN PENGHARGAAN DAN SANJUNGAN DARIPADA SAHABAT BLOG. ALANGKAH BAIKNYA KALAU DAPAT KAMI TAHU SIAPA SAHABAT INI UNTUK DIAJAK BERSAMA DALAM BARISAN BLOG KAMI...


" salam pada warga taman kelisa emas agar anda semua kekalkan semangat perpaduan dan kerjasama demi kehormonian penduduk taman ini.dan sekalung tahniah pada sukarelawan SRS,pergorbanan anda untuk berbakti pada taman ini amat disanjungi.Tahniah juga pada barisan AJK KRT yang banyak menyumbang tenaga dan buah fikiran untuk menjayakan aktiviti semoga anda diberkati Allah."

Wednesday, 14 October 2009

JAMUAN RAYA DAN PELANCARAN BUMI HIJAU

AHLI JAWATANKUASA KAWASAN RUKUN TETANGGA DENGAN SUKACITANYA MEMPERSILAKAN

SELURUH PENDUDUK TAMAN KELISA EMAS KE

Majlis Jamuan Hari Raya Dan Pelancaran Bumi Hijau pada 16 OKTOBER 2009, Jumaat. Majlis dijangka bermula jam 2.30 Petang bertempat di Gelanggan Badminton, Taman Kelisa Emas.

Friday, 9 October 2009

USAH BUANG SAMPAH MERATA-RATA

PENDIDIKAN buang sampah di sekolah nampaknya tidak membawa ke tua. Hanya habis kat situ aje. Usahlah buang sampah merata-rata tempat tanpa memperdulikan orang lain. Usahlah pentingkan diri sendiri kerana suka-suka sahaja nak buang sampah. Kalaupun malas sangat, bakarlah. Lihat sahaja cara buang sampah di laluan masuk ke taman Kelisa ini. Ia bukan sahaja sampah tetapi juga sakit mata memandang kerana kerana buang sampah merata-rata.

Alam Flora Jerantut tidak pernah tidak mengambil sampah yang diletakan di luar rumah. Bahkan mereka menjalankan kerja-kerja memungut sampah tu mengikut jadual yang telah dimaklumkan. Kalau tak salah bermula hari SELASA, KHAMIS dan SABTU. [bersambung]

Monday, 5 October 2009

JANGAN MUDAH MENGHUKUM

Kita tidak boleh menghukum seseorang itu dengan mudah. Kalau pun dia buat salah untuk kali ini namun kita harus ambil kira tentang kebaikan yang pernah dia buat selama ini. Orang yang menghukum tanpa mengambil kira kesalahannya adalah orang yang kejam. Mereka seperti ini kalau diberi kuasa, nescaya akan merosakan keharmonian sedia ada. Kalaupun orang itu bersalah, tidak adakah peluang bagi dia memperbaiki diri? Tidak adakah penilaian terhadapa kesalahan dia. Lagipun mungkin kesalahan dia tu bukan kesalahan jenayah besar. Kenapa nak terus hukum? Lagipun pesalah itu tidak pernah melakukan kesalahan. Apakah ini sebuah negara merdeka?

Kalau kita lihat di negara kita ini pelbagai agensi kerajaan boleh jatuhkan denda. Semua ini macam semua agensi nak tunjuk kuasa. Contohnya Majlis kerajaan tempat pun kenakan dendan, polis, polis trafik, kesihatan, pihak sekolahpun boleh kenakan denda, JPJ, TNB bahkan yang tidak logikpun kenakan denda. Emmm... tak tahulah apa nak kena.

Teringat saya al-kisah menjadi pengawas sekolah dulu. Pantang pelajar buat salah, terus tulis nama dan kelas mereka. Pas tu bagi guru displin. Maknanya terus menghukum. Maksudnya dah gila kuasa sebab dilantik sebagai pengawas. Nak tegakkan undang-undang konon. Tak terpikir pula masa itu nak bagi nasihat ker.. tanya dulu apa masalah hingga jadi macam tu. Maklumlah dapat kuasa mengambil nama. Yang sakit hati ialah apabila sampai kat meja Guru Disiplin pula dia cakap, saya akan ambil tindakan. Pada hal bila saya tinjau kemudian, tak ada apa-apa tindakan pun. Moralnya, jangan mudah menghukum orang lain kerana kita diberi kuasa.

Ini kisah yang berlaku pada minggu lepas kat rumah saya. Pada pagi beberapa hari yang lalu isteri saya menelefon memberi tahu bahawa sepasukan Pegawai Kesihatan telah datang ke rumah saya dan membuat pemeriksaan denggi dan mendapati satu pasu bunga saya terdapat jentik-jentik. Saya menghormati tugas mereka untuk membuat pemeriksaan.

Tetapi apa yang saya nak utarakan ialah sungguhpun itu adalah kesalahan, tetapi tidak kah pegawai tersebut bertanya pernahkah saya didenda? Ini kesalahan keberapa? Mereka tak ada rekodkah? Ada tak kes seumpamaan itu dalam masa terdekat ini?

Saya bukan nak menyalahkan mereka. Itu dah kerja mereka. Sama lah dengan saya semasa menjadi pengawas sekolah itu. Dah gila kuasa, so buatlah kerja tanpa kemanusiaan. Kesimpulannya, mereka harus mempunyai data untuk mengeluarkan saman bukan terus menghukum dengan kesalahan yang boleh dimaafkan kalau mengikut data semasa. Itukah pegawai kita? Orang kita?

Saya berharap di lain masa kepada semua penghuni, tanpa notis tanpa kebenaran jangan biarkan pegawai kesihatan memasuki kawasan rumah anda kalau nak terus hukum. Sebagai warganegara yang berlandaskan undang-undang kita ada hak untuk tidak mereka membuat pemeriksaan ke atas kediaman kita kalau itu lah cara mereka bekerja. Kalau mereka berkeras juga nak buat kerja-kerja mereka suruh mereka bahawa waran untuk membuat kerja-kerja itu.

Asalnya perkara ini baik, tetapi kerana sudah tidak ada nilai kemanusiaan mereka bertindak tanpa mengambil kira semua itu. Kalau lah dimerata tempat dalam kawasan rumah kita itu tempat pembiakan nyamuk patutlah kita didenda. Tapi kadang itu sahaja nak cari masalah kita. Kata orang kalau nak cari masalah manusia anda tidak akan dapat satu sahaja kesalahan, bahkan anda akan dapat lebih daripada itu.

Oleh itu, berilah pertimbangan. Saya akui masalah itu masalah negera dan bawaan penyakit itu boleh membawa maut. Tetapi jangan terus menghukum seseorang pesalah itu tanpa melihat terlebih dahulu akan kesalah itu. Entahlah, kalau tanya dengan mereka dan berdebat dengan mereka tidak akan menangnya kita. Sebab itulah kita ini sombong, angkuh dan tidak bermoral.

Kesimpulannya, ingatlah kalau kita diberi kuasa untuk menghukum, hukumlah seadilnya kerana keadilan itu akan disebut sepanjang masa dan keangkuhan dan kesombongan boleh membinasakan diri.

Oleh itu, hukumlah seseorang itu berdasarkan akal, bukan amarah dan kembalilah kepada kesempurnaan sebagai warganegara yang bebas.

Friday, 2 October 2009

KECOHKAN BLOG TAMAN KELISA EMAS

Salam.. kalau anda ada idea pasal KECOHKAN blog ini saya alu-alukan. KECOHKAN habis-habis. Tapi janganlah kecohkan pasal yang negetif. Maksud saya yang baik-baik. Apa kata minggu depan kita adakan peraduan melukis untuk kanak-kanak taman ini. Saya sanggup sponser akan hadiahnya. Tak yah panggil orang besar-besar nak sampai hadiah. Pengerusi KRT Encik Shukri pun boleh sampaikan. Lepas tu kita ambil gambar ramai-ramai dan kita letak dalam blog ini. Alaaa.. suka-suka aje. Moh kita KECOHKAN...

Thursday, 24 September 2009

AMALAN TERBAIK DI AIDILFITRI

Setelah berjaya mengharungi cabaran Ramadhan al Mubarak dengan penuh ketaqwaan, maka Aidilfitri adalah hadiah terbaik atas kejayaan itu. Amalan kunjung mengunjung menjadi datu tradisi yang patut diteruskan sampai bila-bila. Apa yang baik kita teruskan dan apa yang tidak elok, perlu diperbetulkan serta ditinggalkan.

Pada syawal seawal 3 atau 4 hari, kunjung mengunjung tetap diteruskan. Misalnya kanak-kanak taman ini dalam kumpulan kecil datang beraya di setiap rumah tanpa rasa malu dan segan walaupun mereka tidak kenal tuan punya rumah. Ini satu amalan terpuji dan perlu mendapat sokongan daripada semua pihak, terutamanya para penghuni, ibu dan bapa anak-anak itu. Teruskan amalan sihat ini. Cuma apa yang perlu mereka jaga ialah sopan santun dan hormat menghormati semasa berkunjung. Mereka tampak bergaya dengan amalan ini.

Kenal atau tidak itu bukan persoalannya. Apa yang penting hendaklah menerima sebagai tetamu yang dapat memeriahkan lagi suasana. Mereka perlu didik agar amalan kunjung mengunjung ini harus berterusan sampai bila-bila. Janganlah pula apabila mereka datang dengan salam dan cakap nak raya, kita tutup pintu pagar atau tidak menjawab langsung salam mereka. Sambutlah mereka. Mudah-mudahan mereka membawa rahmat. Setidak-tidaknya mereka memeriahkan suasana hari raya. Persoalan nak jamu atau nak bagi duit raya, itu persoalan kedua. Apa yang mustahak, sambut mereka dengan penuh keimanan dan bertanya khabar. Lepas itu nak hulu kuih muih atau duit raya, silakanlah. Semoga mereka dan kita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai orang islam yang berprinsip mulia.

Baguslah juga kunjungan kanak-kanak beraya ini. Kalau tidak, tak kenal anak siapa. Kemuliaan Aidilfitri ini sememangnya hadiah terbaik buat semua insan terutama kanak-kanak yang akan tersenyum apabila menerima duit raya. Kita sebagai orang dewasa dan beriman, suburkanlah budaya ini kerana Islam sendiripun mahu umatnya kunjung mengunjung di hari raya. Usahlah nak kena jemput baru nak datang. Nak buat rumah terbuka baru nak datang. Ini amalan dari mana? Rasanya budaya kita bukan macam itu. Kalau jemput menjemput tu makna kenduri kendara. Sedangkan Aidilfitri itu merupakan perayaan yang tidak perlu jemput menjemput. Ada masa berkunjunglah tanpa jemputan kerana konsep rumah terbuka itu bukan kerana ada jemputan baru nak datang beraya. Jangan terbalikan budaya mulia ini kepada budaya parti yang menjadi amalan agama lain terutamanya agama kristian. Islam ada budaya tersendiri yang perlu disuburkan sepanjang masa dari generasi ke generasi tanpa putus. Jadikan amalan rumah terbuka tanpa jemputan. Jangan bertukar amalan rumah terbuka kepada sebuah parti yang tidak kena dengan amalan kita.

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.

Sunday, 13 September 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Kami seluruh Jawatakuasa KRT Taman Kelisa Emas mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, maaf zahir dan batin. Semoga raya tahun ini meriah dan ceria. Berhati-hati semasa memandu balik ke kampung dan kembali semula ke sini. Memandulah secara berhemah dan patuhi undang-undang jalan raya semoga selamat pergi dan selamat tiba.

Pastikan keadaan rumah anda selamat sewaktu pulang ke kampung. Beritahu atau maklumkan kepada jiran-jiran yang tidak pulang supaya dapat sama mengawasi rumah anda. Selamat bergembira.

Thursday, 3 September 2009

KEMUKAN CADANGAN DAN KOMEN

Kepada penduduk Taman Kelisa Emas, sila kemukan cadangan atau sebarang komen membina anda untuk menjayakan Laman Web Taman Kelisa Emas. Sehingga hari ini tiada email masuk berkaitan cadangan dan komen untuk membina web Taman Kelisa Emas ini. Sebarang pertanyaan dan komen bolehlah email kepada mazlqan@yahoo.com

Berilah ulasan atau komen yang membina supaya setiap apa yang diutarakan nanti tidak menyentuh mana-mana pihak. Mohon kerjasama anda untuk turut bersama dalam komen atau cadangan pembinaan web tetap.

Thursday, 27 August 2009

Senarai Nama Kumpulan SRS

Berikut adalah senarai nama kumpulan SRS. Sebarang perubahan tertakluk kepada keperluan dan perubahan semasa. Sebarang pertanyaan atau perubahan jadual, sila rujuk kepada Encik Zaidi.

Kumpulan 1

  1. Mohd Shukri Bin Seman (Ketua)
  2. Zaidi Bin Ismail
  3. Zahimin Bin Mat Derus
  4. Razman Bin Abu Talib@Abd Malek
  5. Rohimi Bin Jaffar
  6. Mohd Azha Bin Ariffin
  7. Mohd Farid Bin Ibrahim
  8. Haniza Bin Din
  9. Mohd Shukri Bin Abdul Rahim
  10. Wan Jauhari Bin Wan Muhammad

Kumpulan 2

  1. Mohd Zamili Bin Ramli (Ketua)
  2. Jasnisham Bin Din
  3. Hirul Hamidi Bin Aminudin
  4. Abdul Mubin Bin Ahmad
  5. Ahmad Rani Bin Mahmud
  6. Muhammad Syaiful Bin Hasan
  7. Hapizu Bin Awang
  8. Mohd Zakir Bin Abd Shukur
  9. Mazlan Bin Mohd Sulong
  10. Mohd Maznan Bin Mohd Ikhwan
  11. Zulkifli Bin Ahmad
  12. Ahmad Fairuz Bin Abdullah Azaini
  13. Gani Bin Busu

Kumpulan 3

  1. Mohd Zulkernaini Bin Mat Tahir (Ketua)
  2. Muhamad Bin Mat Tahir
  3. Mohd Asri Bin Ishak
  4. Mazlan Bin Che Kob
  5. Hairul Nizam Bin Daud
  6. Mohamad Saidi Bin Jamaludin
  7. Zamri Bin Khalid
  8. Zulhaimi Bin Wahab
  9. Zamri Mahmud
  10. Zulkifli Bin Mohamed
  11. Ahmad Sabry Bin Zakaria
  12. Nor Haznan Bin Muhamad
  13. Mohd Roslan Bin Yaakob

Wednesday, 26 August 2009

SKIM RODAAN RUKUN TETANGGA TAMAN KELISA EMAS


Kepada petugas sukarekawan bagi RT Taman ini diminta datang bertugas mengikut jadual yang telah disusunkan. Sekirannya ada masalah berkaitan penjadualan, sila kemukan kepada Pengerusi KRT iaitu Encik Shukri. Bertugaslah dengan sukarela demi menjaga kesejahteraan Penduduk tidak kira bangsa dan agama. Semoga tuhan memberi ganjaran kepada setiap apa yang kita lakukan dengan sukarela.

Kesejahteraan dan keamanan penduduk taman ini telah menerima kesan daripada kawalan yang dibuat. Mereka tidak lagi rasa ragu akan keselamatan harta benda rumah mereka, keluarga dan diri apabila kawalan rodaan ini diadakan. Sesungguhnya usaha yang baik tidak harus dihalang. Sekurang-kurang kalau tidak berkemampuan untuk turut bersama semasa rodaan itu, apa kata anda sumbangkan dalam bentuk lain seperti menyediakan makanan, minuman ringan atau apa sahaja bentuk sumbangan bagi menyokong aktiviti ini. Mudah-mudahan sumbangan ada itu membawa keberkatan.

Memang bukan senang nak berkawal. Banyak rintangan yang mendatang. Mengantuk dan esok nak kerja itu adalah realiti yang tidak dapat nak elakan. Tetapi atas kesungguhan dan ketabahan yang ada, maka para petugas tidak pernah merugut atau kesal. Terima kasih kepada yang hadir bertugas atas kerelaan dan kesungguhan. Bagi yang jarang-jarang hadir bukan anda disingkir tetapi memahami masalah yang wujud. Atasi masalah anda itu dengan berbincang dan barangkali anda perlu jadual yang selesa.

Jadual bertugas dari jam 12 malam ke 5 pagi memang sesuai sangat untuk menjayakan aktiviti itu. Bagaimana pun jika anda tidak dapat sangat nak bertugas kerana masalah tertentu bolehlah berbincang dengan Pengerusi atau memaklumkan kepada ketua bertugas pada hari itu. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan tiada masalah pula bagi seorang pengerusi untuk mendengar masalah anda.

Memanglah skim rodaan ini adalah secara sukarela dan tiada langsung paksaan. Tetapi memadailah kita melakukan skim ini dengan niat yang tulus dan ikhlas. Tiada hadiah atau saguhati yang hendak diberikan. Tetapi lakukan ia sebagai satu ibadat. Besar sebenarnya pengorbanan anda itu kerana dalam kebeningan pagi yang sejuk dan mengantuk, sedangkan penghuni lain senang lenang tidur dengan keluarga, kita bersusah payah membuat rodaan malam dan berkawal dengan mencegah jenayah. Itulah pengorbanan yang sejati sebagai warga negara yang ikhas. Bagi mereka yang tidak terlibat dalam skim ini, mungkin mereka tidak memahaminya, tetapi bukanlah mereka tidak faham langsung tentang erti pengorbanan ini. Oleh itu, sekiranya ada masalah tentang penjadualan, silalah berbincag dengan pengerusi untuk di semak semula.

Siapapun tidak akan senang melihat keakraban penghuni lain selesa dengan keluarga sedangkan kita bersusah payah berkawal hingga ke subuh. Tetapi atas sifat ketakwaan dan keredaan maka kita bertugas dengan hati terbuka. Mungkin hari ini kita berkawal dan menjaga keamanan penghuni yang lain. Tetapi mungkin satu hari nanti orang lain juga akan berbuat macam tu ke atas kita tetapi waktu itu kita tidak sedar pembalasan yang baik sedang berlaku. Jesteru, bersyukur dan usahlah berdegus kalau tiba masa kita berkawal. Buat demi kesejahteraan kita.

Dewasa ini jenayah senang berlaku dan tidak kira dimana sahaja. Oleh itu, kalau tidak dapat menangkap penjenayahpun tak apalah asalkan jenayah itu dapat dihindari. Peristiwa-peristiwa kecurian, pecah rumah, rompakan dan sebagainya setidak-tidaknya akan dapat dielakan daripada berlaku di taman ini. Bertitik tolak daripada itu, tidak rugilah usaha kumpalan KRT ini untuk menjaga keamanan penghuninya.

Apa hal pula dengan mereka yang tidak pernah terlibat dan ditugaskan dalam skim ini? Apakah mereka diabaikan atau mereka selamanya tidak akan diundang dalam skim ini? Mungkin beberapa tindakan berikut boleh diutarakan:

1. Kepada mereka yang tidak terlibat, bolehlah menawar diri untuk bertugas secara sukarela. Ingatlah bahawa semua petugas berjadual sebelum ini pun bertugas secara sukarela dan tidak dibayar dengan apa-apa. Oleh itu sekiranya ingin menyumbang dan mengikuti skim ini, mohonlah untuk bersama dengan petugas lain.
2. Bagi anak-anak muda yang tenaga mereka kuat dan pekasa, apa kata turun bersama berkawal dalam skim ini. Supaya tenaga muda kita dapat digerakan demi perpaduan dan kesejahteraan taman ini. Tidak rugi menyumbang tenaga ke arah aktiviti sebegini. Setidak-tidaknya masa mereka dapat dimanfaatkan ke arah kebaikan bersama.
3. Bagi penghuni yang tidak disenaraikan, turun-turunlah ke lokasi sekali sekala. Setidak-tidaknya dapat bersua muka atau berkenalan. Paling tidak dapat menunjukan komitmen dan sokongan kita kepada usaha skim ini. Barangkali dengan hal sebegitu anda akan dikenali dan mengetahu tentang isu taman yang boleh dibantu. Paling utama kalau anda turun ke lokasi ialah anda akan dikenali, bermesra dengan penghuni yang lain, menyokong dan akan digeruni oleh penjenayah yang merancang untuk melakukan aktiviti mereka ke atas taman ini. Sokonglah para petugas dengan turun ke lokasi dan bersama walaupun untuk beberapa jam.

Semua ini bukan untuk dikritik tetapi sekadar berkongsi idea untuk kebaikan bersama. Bersatu itu lebih baik daripada mencetus perbalahan atau menanam permusuhan. Kenal mengenal pula adalah ikatan persaudaraan yang sememang di tuntut oleh semua agama. Oleh itu, bersamalah kita menjayakan skim ini. Semoga ia membawa kerberkatan yang di cari.

Kepada anda yang mempunyai idea untuk kebaikan taman ini, sila emailkan kepada mazlqan@yahoo.com atau terus berhubung kepada Encik Shukri bagi mengemukan cadangan.

MARI MENCEGAH JENAYAH DENGAN MENYOKONG SKIM RONDAAN RUKUN TETANGGA TAMAN INI.

Monday, 24 August 2009

LAMAN WEB BARU

Taman Kelisa Emas akan melancarkan Laman Web baru tidak lama lagi. Sila Kemukan cadangan atau bantahan anda mengenai hasrat ini. Jika sokong, tulis sokong dan berikan ulasan mengenai sokongan anda. Kami juga bercadang untuk mencari penulis untuk web tersebut. Kepada yang berminat sila emailkan kepada mazlqan@yahoo.com mengenai perkara ini. Nyatakan minat anda, tinggalkan no HP dan nama penuh serta no rumah untuk dihubungi. Kepada yang berminat dan terpilih kami akan memberi latihan pengendalian web secara percuma dan anda akan dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia webhosting ini. Pertandingan mencipta nama hosting sedang dijalankan sekarang. Emailkan hosting tersebut kepada email di atas. Pemenang akan di beri hadiah lumayan. contoh : http://www.kelisaemas.com atau sebagainya.

Anda ada cadangan? Kenapa tak kemukan.. sila emailkan kepada :
mazlqan@yahoo.com... urusetia laman web kelisa emas.

Sunday, 23 August 2009

STIKEL KERETA KRT TAMAN KELISA EMAS

Apa komen anda pasal pemasangan stikel kereta untuk penghuni taman ini? Adakah anda setuju? Dari segi kebaikanya ialah supaya semua orang tahu bahawa anda adalah penghuni taman ini dan memudahkan keluar masuk anda ke taman ini melalui pemeriksaan rukun tetangga. Apa pun, apa cadangan anda yang lain dan apa pendapat anda bagi isu ini?

( Beri komen anda )

SALAM RAMADHAN

SEMOGA RAMDHAN TAHUN INI MEMBAWA BERKAT DAN AMALAN YANG DILAKUKAN AKAN DI TERIMA ALLAH.

Hidupkan amalan...

1. Bertukar-tukar kuih-muih dengan jiran-jiran tetangga
2. Ke masjid untuk solat teraweh
3. Banyak baca Quran
4. Banyak Berzikir dan beristifal
5. Buatlah masjis berbuka dan jemput tetangga


SEMOGA RAMADHAN KALI INI RAMADHAN PENUH BERKAT DAN SEPAKAT

Tuesday, 2 June 2009

LAPORAN AKTIVITI

SKIM RONDA SUKARELA DAN PELEPASAN WAKTU BAGI KAKITANGAN AWAM

Skim Rukun Tetangga diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka sebagai langkah pencegahan jenayah dan gejala sosial.

Bagaimanapun, terdapat kesulitan berkaitan kawalan rondaan di waktu malam sedangkan peronda bertugas perlu bekerja keesokan harinya.

JPA telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 23 Tahun 2008 bertarikh 17 Disember, 2008 memberi pelepasan waktu bekerja kepada pegawai perkhidmatan awam yang menjalankan di bawah skim rondaan sukarela kawasan Rukun Tetangga. Pekeliling ini berkuatkuasa 1 Januari, 2009.

Usaha murni kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat ke arah mengurangkan bebanan pihak berkuasa keselamatan amat dipuji, namun nampaknya terdapat beberapa masalah birokrasi timbul. Berdasarkan arahan pekeliling tersebut, beberapa dokumen perlu disediakan kepada Ketua Jabatan untuk urusan pelepasan waktu bekerja. Antaranya:

1. Surat pengesahan sebagai ahli Rukun Tetangga setempat dan terlibat dalam Skim Rondaan Setempat, jika diminta.
2. Borang Lampiran A sebagai permohonan pelepasan waktu bekerja dilengkapkan untuk kelulusan. Dokumen sokongan diperlukan iaitu jadual rondaan yang disahkan oleh JK Rukun Tetangga setempat.
3. Surat pengesahan dari JK Rukun Tetangga bahawa rondaan telah dijalankan pada masa ditetapkan.
Kemungkinan timbul beberapa isu di peringkat perancangan dan perlaksanaan di kebanyakan kawasan kejiranan di negara ini:
1. JK Rukun Tetangga tidak ditubuhkan, tidak berfungsi atau tidak aktif. Ada yang tiada bilik gerakan, barisan AJK terkini di samping tiada publisiti setempat.
2. Kuasa pertimbangan & kelulusan oleh Ketua jabatan adalah atas kepentingan perkhidmatan pegawai, walaupun untuk perkhidmatan berdasarkan shif. Maknanya, mungkin belum tentu diluluskan.
3. Setiausaha JK Rukun Tetangga kena rajin taip semula jadual bertugas dan Pengerusinya kena rajin tandatangan. Tentu perubahan banyak berlaku jika waktu / hari bertugas tidak diluluskan oleh Ketua Jabatan pegawai berkenaan.
4. Pelepasan hanya pada waktu pagi hari itu sahaja, tidak boleh bawa ke petang. Minimum 4 jam mengikut waktu sebenar bertugas. Sedangkan waktu pagi paling produktif .
5. Pekeliling dan pelepasan ini hanya untuk kakitangan awam. Bagaimana dengan pihak swasta? Mahukah majikan beri pelepasan sebegitu juga? Jika mereka tidak beri, bukankah pekerja swasta lebih ramai di Malaysia berbanding kakitangan awam.. Siapa jaga siapa atau kita sama-sama jaga dalam satu kejiranan ?
6. Kemampuan kawalan rondaan selepas 12 tengahmalam mungkin lebih sesuai untuk lelaki. Wanita ? Kita faham.. tetapi dengarnya, hampir separuh kakitangan awam adalah wanita.
7. Atau adakah lebih baik jika pihak polis perlu ditambah bilangannya? :)
8. Jangan lupa, rondaan kawalan adalah sukarela, tanpa sebarang elaun dinyatakan. Cuma pelepasan waktu bekerja yang belum tentu diluluskan akibat kepentingan tugas atau dokumentasi.
9. Jangan hingga orang kata, lebih baik kita pergi kerja macam biasa. Urusan kerja tentu selesai, tanpa kerenah. Waktu malam, kunci rumah masing-masing. Ada masalah call polis. Macam biasa

Monday, 11 May 2009

Gotong Royong Membersih Longkang Yang Tersumbat

Macam inilah bentuk masalah yang menjadi punca. Nasib baik tak jumpa kerangka manusia atau tulang danasour. Kalau tidak tentu gempak taman ini.
Terima kasih Alam flora Jerantut yang membantu menguruskan hal pengangkutan sampah semasa gotong-royong ini walaupun hari minggu. Pujian harus diberi kepada mereka atas kesudian ini. Nak harapkan penghuni kita, emm pendek kata makin tersumbatlah longkang itu. Macam-macam ada.....
Gotong-royong sebegini perlu mendapat sokongan daripada semua pihak. Walaupun maklumat agak lambat atau tidak sampai kepada penduduk, apa salahnya kalau melihat ramai orang berkumpul dengan peralatan datanglah bertanya khabar dan menyertai. Sudah tentu mereka bukan nak berperang? Adakah anda memerlukan jemputan khas seperti dewa-dewi baru nak turun padang bersama penduduk yang lain?
Semoga amalan sihat ini diteruskan di masa-masa akan datang. Bukan sahaja penduduk lelaki, bah jua penghuni wanita. Mengapa mesti hanya satu kaum sahaja turun sedangkan kita hidup bermasyarakat? Encik Shukri, Pengerusi KRT Taman ini turut sama melapangkan masa bergotong-royong.Tahniah kepada semua penduduk Taman Kelisa Emas yang keluar menjalankan gotong royong membersih Taman Kelisa Emas. Muafakat membawa berkat.

Gotong-royong sebegini dapat mengeratkan persahabatan dan persaudaraan. Sepatutnya semua penduduk perlu turun tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman. Amalan sebegini bukan sahaja menyatukan penduduk bahkan ia menjadi sihat dan selamat.

Tuesday, 10 March 2009

TIPS BERGUNA dari PDRM elak kecurian

[Tips menghalang kecurian seperti yang diberi oleh Polis DiRaja Malaysia]

(1) Jangan biarkan anak-anak tidur di ruang tamu seorang diri (Mereka mungkin menggunakan anak sebagai tebusan).

(2) Kunci atau sorokkan semua pisau-pisau yang terdapat di dapur sebelum tidur (Kesemua kes kecurian di dapati pisau hilang dan menurut polis mereka akan mencari pisau dahulu sebelum mencuri bertujuan untuk melindungi diri mereka).

(3) Sekiranya terdengar/terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12:00 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah menunggu diluar pintu rumah untuk masuk (Kes terbaru berlaku di Dungun dan Petaling Jaya).

(4) Beritahu anak-anak sekiranya hendak ke tandas (jika tandas jauh) di waktu tengah malam, kejutkan ibubapa untuk bersama mereka.

(5) Jangan simpan barang-barang kemas di dalam almari baju (Cara lama ...).

(6) Bawa alarm kereta bersama semasa tidur, in case terjaga tengah malam, cuba on and off kan balik untuk menakutkan pencuri (Menandakan kita sentiasa alert).

(7) Tekan button merah alarm kereta anda jika anda suspect pencuri sudah masuk ke dalam rumah.

(8) Sekiranya terlihat orang-orang yang agak aneh dan asing di kawasan rumah anda, sila dapatkan plet no motor/kereta mereka (Selalunya naik motor dan mereka ni biasanya berdua, setiap kali kita lalu depan mereka, mereka akan menundukkan kepala).

(9) Pesan kepada jiran, sekiranya ada sesiapa yang datang ke rumah kita dan mengaku saudara kita bertujuan untuk mengambil barang-barang, jangan benarkan, beri nombor telefor pejabat anda kepada jiran supaya mereka boleh double check dengan kita.

(10) Semasa tidur, pastikan handphone anda berada di sisi atau pastikan juga Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam bilek tidur anda. Ini memudahkan anda membuat panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri di dalam rumah anda.

(11) Adakan senarai nombor telefon kecemasan seperti polis kawasan anda, bomba kawasan anda, 999 atau sebagainya. Pastikan nombor-nombor ini disimpan dalam handphone anda. Kalau boleh, hafalkan nombor tersebut. Ini memudahkan anda membuat panggilan telefon.

(12) Kalau berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau automatik alarm.

(13) Lampu porch & lampu belakang rumah sepatutnya terpasang secara automatik bila malam, baik semasa kita ada di rumah atau pergi bercuti.

(14) Kalau cuti lama, pesan jiran kutip surat-surat dalam peti surat. Peti surat yang penuh membantu pencuri menghidu ketiadaan tuan rumah.

(15) Kalau kawasan anda kerap berlaku kecurian, buat permohonan rasmi dari Balai Polis berdekatan supaya ada anggota polis buat rondaan yang kerap di kawasan anda.

(16) Kereta Proton adalah paling mudah dicuri. Kalau kereta anda brand new, sekurang-kurangnya anda perlu lock gear & steering sebelum tidur (Sebenarnya masih boleh dicuri, tetapi akan berjaya melambatkan pencuri).

(17) Kalau ada anak-anak perempuan, sebaik-baiknya pintu biliknya dikunci dari dalam (Sebab ada pencuri yg mengambil kesempatan seksual) dan anda perlu ada kunci pendua in case berlaku kebakaran.

(18) Sekurang-kurangnya simpan kayu hoki atau baseball di bawah katil anda buat mempertahankan diri dari pencuri yang ganas.

(19) Jangan letak kunci bawah pasu bunga/mail box/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (Pencuri dah lama tau taktik ni...). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.

(20) Kalau sewa rumah baru pastikan anda tukar padlock baru, mana tau bekas-bekas penyewa lama simpan kunci pendua.

(21) Kurangkan pendedahan dan pergaulan anda dengan pekerja asing.

(22) Pastikan keadaan selamat sebelum buka pintu rumah (Tak kira siang atau malam, terutamanya balik lepas 11:00lam).

Source - Bukit Aman PDRM

Thursday, 5 March 2009

Sejarah & Lokasi



Pandangan sisi bagi kediaman 2 tingkat. Harmoni dan ceria apabila taman kelihatan bersih dan kemas.


Laluan ini sepatutnya ada garisan tetapi pihak pemaju abaikan. Persimpangan ini sudah dua kali berlaku kemalangan. Mestikah kemalangan maut baru nak atasi?


Keceriaan tidak harus diabaikan. Terima kasih kepada Alam Flora yang sentiasa memungut sampah yang dimasukan ke dalam tong oleh penghuni taman mengikut jadual.


Kebersihan menjaminkan kesejahteraan penghuni.


Taman kelisa Emas Jerantut di buka sejak tahun 2007 dan terletak kira-kira 3 kilometer daripada pusat bandar Jerantut. Lebih mudah mencari Taman perumahan ini apabila anda menghala ke laluan Jerantut Jengka atau terletak bersebelahan Masjid Tengku Abdullah Jerantut ( Masjid baru Jerantut). Taman perumahan yang berhapiran ialah Taman Perumahan Perdana, Taman Impian dan Taman Bukit Permai. [ Lihat peta lokasi ... http://maps.google.com/ dan taip jerantut pahang dalam kotak seacrh ]





Info oleh : Mazlan

Taman Senja di Ketenagan Senja


Gambar ini dirakam sewaktu senja mula menjejak kaki...

Wednesday, 4 March 2009

Bismillahirahmannirrahim.Assalamualaikum W.B.T. Dan Salam Perpaduan.



Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinNya maka terlancarlah Laman Web Rasmi Rukun Tetangga Taman Kelisa Emas Jerantut.


Saya amat berharap dengan terlancarnya Laman Web Rasmi ini akan dapat mengeratkan lagi tali silatulrahim di antara AJK KRT dan warga KRT khasnya serta seluruh penduduk di Taman Kelisa Emas amnya. Dengan adanya Laman Web ini juga, segala perancangan program dan aktiviti KRT akan dapat disalurkan terus kepada masyarakat dengan lebih berkesan, cepat dan menyeluruh lagi.

Laman Web ini juga akan memudahkan masyarakat khususnya warga KRT untuk menyampaikan pandangan dan cadangan yang membina serta mengutarakan segala permasalahan untuk ditangani bersama demi perpaduan masyarakat keseluruhannya. Disini juga saya mengharapkan kepada seluruh warga KRT untuk bersama-sama turun padang dan turut serta dalam menjayakan segala aktiviti dan program yang dijalankan oleh KRT demi mengeratkan lagi tali silaturahim dan semangat kerjasama yang lebih harmoni dikalangan kita.

Saya amat berkeyakinan bahawa hanya dengan semangat perpaduan yang tinggi dan kerjasama yang erat diantara kaum akan menentukan kejayaan sesebuah Bangsa dan Negara. Di sini juga saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga KRT terutamanya AJK KRT yang selama ini telah bersama-sama merancang dan menjayakan segala aktiviti serta sumbangan-sumbangan dari berbagai segi yang sangat berharga demi kebaikan dan kemajuan KRT Taman Kelisa Emas.

Akhir sekali kami AJK KRT Taman Kelisa Emas akan terus berusaha untuk memperbaiki dan memperbanyakan lagi aktiviti yang berbentuk sukan dan kemasyarakatan bagi meningkatkan lagi perpaduan masyarakat di taman ini. Sokongan dan kerjasama yang berterusan dari semua warga KRT amatlah kami harapkan dan sanjung tinggi. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T dan segala yang buruk itu adalah di atas kelemahan saya sendiri.


Sekian, Terima Kasih.

Wassalam.

“PERPADUAN TERAS KEJAYAAN”



SUKHRI BIN ABU SEMAN.
Pengerusi KRT Taman Kelisa Emas.

JEJAK ANDA

PAPARAN SEMASA

MENGENAI KAMI

27000 JERANTUT, PAHANG DARUL MAKMUR, Malaysia
JALAN JERANTUT FERI

TAMAN KELISA EMAS

TAMAN KELISA EMAS

Selamat Datang Ke Taman Kelisa Emas, Jerantut

Kami mangalu-alukan penduduk taman ini menyumbangkan idea bagi membangunkan web Taman ini dengan lebih mantap.